Home
Pemantauan dan Verifikasi Akhir Penarafan Surau Imarah Sekolah-sekolah (PERSISS)
15 Dis. 2024 - Pemantauan dan Verifikasi Akhir Penarafan Surau Imarah Sekolah-sekolah (PERSISS) Kementerian Pendidikan Malaysia Peringkat Negeri Johor Tahun 2024 telah dijalankan dengan tujuan memberikan pengiktirafan Taraf 5 Bintang kepada surau-surau sekolah yang telah memberikan perkhidmatan terbaik kepada murid-murid. Pemantauan ini merupakan satu usaha untuk memastikan surau-surau di sekolah-sekolah negeri Johor mencapai tahap kecemerlangan dalam mengimarahkan surau sebagai pusat ibadah dan pembentukan akhlak murid.
Jabatan Pendidikan Negeri Johor, dengan kerjasama Perbadanan Islam Johor (PIJ), telah mengadakan sesi pemantauan dan verifikasi akhir PERSISS Lima Bintang KPM peringkat negeri Johor di Surau Fatimah Az- Zahra. Objektif utama pemantauan ini adalah untuk menilai secara komprehensif kualiti pengurusan surau di sekolah dalam aspek pengimarahan, penglibatan murid dalam aktiviti keagamaan, serta kemudahan yang disediakan bagi menyokong keberkesanan aktiviti ibadah dan pengajaran agama.
Antara wakil-wakil yang hadir dalam sesi pemantauan tersebut ialah En. Mohmad Hakim bin Sohali (Ketua Penolong Pengarah, Unit Pembangunan Adab dan Nilai, Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri Johor), En. Mohd Fahmie bin Mohmad (Penolong Pengarah, Unit Pembangunan Adab dan Nilai, Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri Johor) dan En. Mohd Shukri bin Ibrahim (Penolong PPD, Pendidikan Islam Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru).
Usaha ini adalah sebahagian daripada inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memastikan surau-surau sekolah di negeri Johor terus berfungsi sebagai pusat pembangunan spiritual dan sosial yang penting bagi murid-murid.
Terima kasih yang tidak terhingga kepada Bonda Pengetua, Puan Hjh Radziah Mohd. Din sebagai pembentang utama, serta kepada Puan Norsidah M. Amin selaku PK HEM, Puan Lili Murnni Muhamed sebagai GKMP, seluruh barisan asatizah dan Jawatankuasa BADAR serta murid-murid yang telah bekerja keras dan bertungkus-lumus dalam memastikan kelancaran dan kejayaan sesi pemantauan PERSISS ini. Komitmen dan usaha yang ditunjukkan oleh setiap pihak amat dihargai dan memberi impak yang besar kepada kejayaan program ini. Semoga segala kerja keras dan sumbangan yang diberikan mendapat ganjaran yang berlipat ganda dan terus diberkati. Terima kasih atas dedikasi dan kerjasama yang telah ditunjukkan.